11 JAN : Semua pihak khususnya ahli UMNO digesa berhenti daripada membuat sebarang spekulasi berhubung titah adendum membabitkan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia bagi mengelakkan subjudis bagi
pengurusan kes membabitkan bekas perdana menteri itu yang dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Katanya, semua pihak perlu akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memulangkan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi.
“Jika Mahkamah Rayuan sudah buat keputusan memulangkan semula kes ini ke Mahkamah Tinggi, saya minta semua pihak untuk serahkan (kes ini) kepada Mahkamah Tinggi.
“Pada 13 Januari, Mahkamah Tinggi akan tetapkan tarikh perbicaraan dan saya minta kita semua tidak membuat sebarang spekulasi kerana mahkamah memainkan peranan untuk membuat penentuan,” katanya pada Jumaat, lapor UMNO Online.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dam mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun 2024.
Titah tambahan itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.