13 JAN : Majlis Amanah Rakyat (Mara) mendedahkan kewujudan kartel melibatkan kontraktor Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ada kes di mana kontraktor menipu butiran seperti alamat ketika membuat permohonan.
“Saya tak terlibat dalam pemilihan semua kontraktor. Kita melalui tatacara dan perolehan yang ketat. Prosedurnya dilakukan mengikut sebagaimana yang dipersetujui majlis dan Kementerian Kewangan.
“Pemilihan ini (kontraktor) memang sangat ketat tapi memang seperti mana yang saya jangkakan dan menjadi cakap-cakap di luar sana, apabila saya masuk sebagai Pengerusi (Mara), orang kata ada kartel dan sebagainya.
“Sebab itu penting bila kita turun ke bawah ini dan memang betul memang ada kartel. Contohnya waktu mereka mohon alamatnya berdekatan tapi apabila disemak jauh. Prosedur operasi standard (SOP) memang perlu berdekatan dengan MRSM. Ini soal penipuan, manusia ini akan cari jalan juga untuk capai apa yang dinginkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pencapaian Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), hari ini.
Menurut Asyraf, meski tidak dapat membasmi kartel sepenuhnya, namun beliau berikrar akan mencuba sedaya mungkin untuk menghapuskannya.
“Saya perlu menjaga amanah selaku Pengerusi Mara yang meluluskan peruntukan wang rakyat dan memastikan ia dimanfaatkan dengan baik tanpa satu sen pun wang berkenaan dibazirkan.
“Tidak boleh kata 100 peratus isu kartel ditangani tetapi saya cuba sedaya meskipun sukar untuk dihapuskan sepenuhnya.
“Maknanya bila kita tegas kena buat perubahan dengan menambah baik SOP serta pengawasan di peringkat pengurusan.Berdasarkan langkah-langkah itu, kita nampak sudah ada perkembangan positif dan ia akan diteruskan,” katanya.