13 JAN : Buli siber semakin membimbangkan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan 8,756 kandungan berkaitan sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata angka itu peningkatan yang besar berbanding 1,763 direkodkan pada 2023.
“Angka ini turut menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan kerana pada tahun 2023 kandungan sebegini yang telah diturunkan adalah sebanyak 1,763 dan didapati bahawa angka ini meningkat kepada lebih 8,000.
“Kita semua perlu lebih berhati-hati dan bijak dalam menggunakan platform digital serta sentiasa menjaga etika dalam berkomunikasi. Beringatlah untuk klik dengan bijak dan semak sebelum sebar”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Lawatan Kerja ke Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, Bera, hari ini.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata bagi mendidik rakyat dari peringkat akar umbi tentang penggunaan dalam talian secara positif, beretika, selamat dan bertanggungjawab, kerajaan akan terus melaksanakan kempen Klik Dengan Bijak (KDB).
Inisiatif MCMC itu bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang keselamatan serta perlindungan ketika menggunakan Internet
Terdahulu, Nie Ching melakukan ujian kualiti liputan perkhidmatan 4G dari menara JENDELA di Bukit Rok.
Menara itu kini sudah menepati piawaian selepas MCMC dan syarikat penyedia perkhidmatan CelcomDigi jalankan kerja tambah baik.