Kerja atau tidak, carum PERKESO
13 JAN : Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu dibuat oleh setiap individu yang bekerja atau tidak bekerja untuk perlindungan diri dan keluarga sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata waris akan mendapat faedah kewangan bagi meringankan beban sekiranya pencarum meninggal dunia.
“Sama ada bekerja atau tidak bekerja, seseorang boleh menyumbang untuk mencarum ke PERKESO sebagai perlindungan jika berlaku sesuatu bukan sahaja kematian malah kemalangan kecil di rumah juga boleh dituntut.
“Apabila ada caruman PERKESO maka ibu bapa yang ditinggalkan masih dapat manfaat daripada caruman tersebut. Seperti dalam kes ini, PERKESO proaktif mencari dalam media sosial dan membuat pemeriksaan jika arwah merupakan seorang pencarum dan kami di kementerian sentiasa bekerjasama menghubungi keluarga waris untuk menyampaikan sumbangan tersebut
“Oleh itu, kita bekerjasama dengan PERKESO dalam program kita untuk menerangkan manfaatnya kepada orang ramai terutamanya golongan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Penyerahan Kotak Prihatin PERKESO kepada waris Allahyarham Nurul Asikin Lan di Kuching, hari ini.
PERKESO membayar khairat kematian sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa Allahyarham untuk urusan pengebumian dan RM608 pencen bulanan sehingga kedua-duanya meninggal dunia.
Selain itu, PERKESO turut menyerahkan Kotak Prihatin PERKESO berupa barangan dapur kepada keluarga arwah.
Pada 5 Disember lalu, kes kehilangan Allahyarham Nurul Asikin berusia 28 mendapat liputan meluas sebelum mayatnya ditemui dalam longkang di kawasan Tabuan Jaya pada 14 Disember.
Dalam pada itu, Nancy berkata kementeriannya juga menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga arwah sekiranya diperlukan namun pada masa yang sama tidak mahu mendesak keluarga tersebut yang masih lagi dalam keadaan trauma selepas kejadian itu.