13 JAN : Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) menyatakan komitmen untuk menjayakan pelbagai pelaburan di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata komitmen tersebut turut melibatkan pelaburan dalam transformasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Katanya, hasrat itu dinyatakan Pengarah Urusannya, Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan serta barisan kepimpinan lain seperti Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri semasa pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Abu Dhabi menerusi lawatan kerja selama tiga hari perdana menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Menerusi perbincangan tersebut juga, ADIA yang telah sekian lama melabur di Malaysia memberi komitmen untuk terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB,” katanya menerusi hantaran Istagram, hari ini.
Menurut Tengku Zafrul komitmen ADIA menerusi pelaburan membuktikan keyakinan kukuh syarikat itu terhadap dasar-dasar Kerajaan yang mesra pelabur yang sekali gus memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama untuk pelaburan yang berkualiti tinggi demi merancakkan pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, ia juga dapat memperkukuhkan daya saing ekonomi serta mencipta peluang kerja baharu di negara ini.
“Komitmen ADIA terserlah melalui pelaburan yang selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi MADANI.
“Menerusi pertemuan ini , Malaysia dan UAE membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai pelaburan strategik.
“Antara sumbangan penting ADIA termasuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara,” katanya.
ADIA merupakan salah satu dana kekayaan terbesar dunia dengan aset dianggarkan melebihi AS$1 trilion.
Anwar yang mengadakan lawatan tiga hari ke UAE dijadualkan bertemu dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang juga pemerintah Dubai, hari ini.
Perbincangan dijangka bertumpu kepada usaha mengukuhkan hubungan dua hala dan meneroka peluang-peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data serta isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama.
Lawatan itu juga adalah atas jemputan Perdana Menteri UAE bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW).
Pertemuan ini merupakan lembaran baharu kerjasama perdagangan dan pelaburan menjelang berkuat kuasa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang akan dimeterai dalam lawatan kerja kali ini.
Selain itu, ia juga dilihat sebagai usaha meneruskan kecemerlangan kerjasama yang dicapai semasa lawatan perdana menteri terdahulu yang berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM40.6 bilion (AS$8.6 billion).
Pesawat khas yang membawa perdana menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada Ahad jam 9 malam waktu tempatan (1 pagi Isnin waktu Malaysia).