13 JAN : Fasiliti kesihatan yang masih mempunyai masalah telekomunikasi dan talian Internet akan dinaik taraf bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengenal pasti fasiliti terlibat daripada tujuh hospital yang disenarai pendek.
“Kami akan bekerjasama dengan KKM kerana mereka adalah pemilik aset kawasan tersebut.
“Jika mereka merasakan Internet tidak mencukupi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan masuk dan mencari penyelesaian sama ada melalui peningkatan liputan kawasan atau pemasangan peralatan dalam bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke Pejabat Kesihatan Daerah Bera, Pahang, hari ini.
Hospital terlibat ialah Hospital Pulau Pinang, Hospital Cyberjaya, Hospital Tuanku Nurul Zahirah, Kuala Terengganu, Hospital Alor Gajah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rembau dan Hospital Tanah Merah.
Dalam pada itu, Nie Ching meminta mana-mana fasiliti kesihatan yang berdepan masalah telekomunikasi segera membuat aduan kepada MCMC.
Setakat ini, MCMC berjaya menyelesaikan masalah telekomunikasi di 17 daripada 29 fasiliti kesihatan di Parlimen Bera.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata 191 menara baharu dibina di Pahang menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan ini termasuk 18 di Parlimen Bera iaitu 3 di DUN Guai, 5 di DUN Triang dan 10 di DUN Kemayan.
“Daripada jumlah ini, 12 menara telah beroperasi termasuk di Kampung Bukit Rok ini.
“5 menara baharu turut dibina di kawasan Orang Asli iaitu di Kampung Bukit Rok, Kampung Bukit Gemuruh dan Kampung Sungai Tuang yang telah beroperasi manakala dua lagi masih dalam pelaksanaan,” katanya.