13 JAN : Dakwaan ada ahli Parlimen UMNO akan bersekongkol dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menjatuhkan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) hanyalah provokasi pembangkang semata-mata.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin berkata dakwaan tersebut dilemparkan hanya untuk mengelirukan rakyat selain menyifatkan ia tidak memberi manfaat kepada negara.
“Negara melalui satu proses pilihan raya dan kerajaan telah terbentuk mengikut kesesuaian keadaan semasa.
“Saya akui kerajaan sekarang memang ada kelemahan tetapi kita tidak boleh jadikan alasan ini untuk menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16,” katanya, lapor Free Malaysia Today, hari ini.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menerusi ceramah PN di Lembah Pantai pada Sabtu mendakwa 17 daripada 26 Ahli Parlimen UMNO yang dilabel ‘UMNO ori’ berkemungkinan menyokong usaha PN menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16.
Kata Tun Faisal, usaha tersebut memerlukan sokongan wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta bebas.
Sementara Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan tidak ada sebab untuk UMNO menyertai pembangkang menjatuhkan kerajaan.
Sebaliknya, beliau berkata 26 Ahli Parlimen UMNO akan terus bersatu bagi memastikan kestabilan politik demi pembangunan dan kepentingan rakyat.
“Tak ada istilah UMNO ori tak ori. PN yang hendak jatuhkan kerajaan, kenapa perlu babitkan orang lain.
“Tunggulah PRU16 kerana semua parti boleh tanding bagi mendapatkan mandat rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Tampin, Isam Isa mengingatkan pembangkang agar belajar daripada kesalahan mereka semasa mentadbir kerajaan dahulu.
Katanya, pentadbiran negara yang silih berganti mengakibatkan ketidakstabilan kerajaan pada ketika itu.
“Pada pendapat saya biar kerajaan ini habiskan tempoh mandat, bila sampai masa barulah lawan, itu baru gentleman.
“Pembangkang buatlah kerja dan beri pandangan untuk kebaikan negara,” katanya.