14 JAN : Indonesia mencadangkan pengurangan tarif perdagangan kepada Amerika Syarikat (AS) melalui kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata inisiatif itu antara langkah bagi menghadapi dasar tarif import yang akan dilaksanakan Presiden Terpilih AS, Donald Trump semasa pentadbirannya yang secara rasmi memegang jawatan itu pada 20 Januari.
“Kami memohon kerjasama ekonomi dua hala bagi membantu mengurangkan tarif,” katanya, lapor Xinhua pada Isnin.
Dalam kempen Pilihan Raya Presiden AS 2024, Trump berikrar akan mengenakan tarif menyeluruh sehingga 20 peratus ke atas import dari semua negara sebaik saja beliau kembali ke Rumah Putih.
Selepas memenangi pilihan raya itu pada 6 November, beliau turut mengumumkan bakal mengenakan tarif import yang tinggi ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada selain tarif tambahan terhadap barangan dari China yang dijangka memberi kesan besar terhadap perdagangan dunia.
Dalam satu kenyataan menerusi platform media sosial Truth Social, Trump berkata beliau akan menandatangani Perintah Eksekutif berhubung perkara itu pada hari pertama kembali memegang jawatan berkenaan.
“Pada 20 Januari depan, sebagai satu daripada Perintah Eksekutif pertama, saya akan menandatangani kesemua dokumen yang diperlukan bagi mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk yang masuk ke AS dari Mexico dan Kanada, serta sempadan terbuka mereka yang tidak masuk akal.
“Kami akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas China, melebihi tarif tambahan yang sedia ada terhadap semua produk mereka yang masuk ke AS,” katanya.
Sepanjang penggal pertama beliau sebagai Presiden AS sebelum ini, Trump mengenakan tarif punitif yang tinggi ke atas banyak barangan dari China.