KENYATAAN MEDIA
Kementerian Dalam Negeri
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan Arab Emiriah Arab Bersatu (UAE) , Tuan Yang Terutama Mohamed Hassan Alsuwaidi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI).
Kerjasama ini bertujuan untuk memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan bagi meningkatkan keselamatan komuniti, keselamatan negara dan kecekapan operasi.
Acara menandatangani memorandum ini disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Yang Mulia Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuk:
-Pembangunan sistem keselamatan negara berasaskan AI.
-Penubuhan pusat data pengkomputeran berprestasi tinggi dan pusat operasi keselamatan negara.
-Penambahbaikan kecekapan operasi.
Menurut Menteri Dalam Negeri, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam mencapai aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam landskap AI global. Dengan memanfaatkan AI dan analitik data lanjutan, Malaysia berhasrat untuk menangani cabaran kompleks, termasuk keselamatan awam, sambil meningkatkan kecekapan operasi.
Kerjasama ini turut menandakan langkah penting dalam hubungan keselamatan antara Malaysia dan UAE. Malaysia merupakan rakan dagang ke-12 terbesar UAE di Asia dan kelima dalam kalangan negara ASEAN, manakala UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia Arab, merangkumi 32 peratus daripada perdagangan Malaysia dengan rantau tersebut.
PEJABAT MENTERI DALAM NEGERI