Malaysia bakal terima pelaburan jangka panjang dari UAE
14 JAN : Malaysia bakal menerima pelaburan jangka panjang dalam sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara tersebut susulan lawatan kerja beliau ke negara itu selama tiga hari sejak Ahad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata potensi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan serta berdaya saing akan dicapai selepas melihat sinergi padu antara Malaysia dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).
“ADIA hadir dengan membawa bersama-sama suara rakan syarikat pelaburan global yang lain dalam meneroka pelbagai peluang pelaburan yang terhidang di Malaysia.
“Tidak mustahil, pelaburan jangka panjang dapat disuntik termasuk membabitkan sektor penjagaan kesihatan, pengendali lapangan terbang dan tenaga, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran X, pada Selasa.
Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu iaitu Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan CEO Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi.
Anwar dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke UAE atas jemputan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di Abu Dhabi.
Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan serta menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di ADNEC Center, hari ini
Pada sidang ADSW, beliau akan terlibat dalam dialog ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’, sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Antara pemimpin dunia yang dijangka mengambil bahagian di ADSW ialah Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev; Perdana Menteri Albania, Edi Rama; Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev; Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev; Presiden Kenya, William Ruto; Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu; Presiden Rwanda, Paul Kagame; Presiden Seychelles, Wavel Ramkalawan dan Presiden Uganda, Yoweri Museveni juga tidak ketinggalan mengambil bahagian.
Anwar turut dijadual menghadiri Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed dan forum ‘Youth 4 Sustainability’.
Pertemuan ini merupakan lembaran baharu kerjasama perdagangan dan pelaburan menjelang berkuat kuasa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) yang akan dimeterai, hari ini.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim