14 JAN : Sudah tiba masanya Malaysia menggubal undang-undang khusus untuk mengawal pendanaan politik bagi membanteras rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata negara memerlukan undang-undang pendanaan politik yang kukuh dan berkesan.
“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengehadkan perbelanjaan kempen dan menghendaki pelaporan perbelanjaan pilihan raya, hanya terpakai kepada calon dan bukannya kepada parti politik.
“Parti politik juga tidak diwajibkan mendedahkan sumber pendanaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kewangan Politik Antarabangsa 2025 di ibu negara, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO tidak menafikan sesebuah parti politik memerlukan dana besar untuk menampung kos operasi dan aktiviti dan parti itu perlu memikirkan cara untuk mengumpulkan dana secara berkesan.
“Sebagai seorang ahli politik, saya mengakui bahawa politik memerlukan kos yang tinggi. Parti politik perlu menggerakkan sumber yang besar untuk menjalankan kempen pilihan raya, operasi pejabat, menjalankan penyelidikan, menganjurkan acara dan mendidik masyarakat.
“Untuk memenuhi peranan mereka sebagai watak utama dalam politik yang kompetitif, parti perlu memikirkan cara dengan teliti bagi mengumpulkan dan menguruskan dana secara berkesan serta berintegriti,” katanya.
Lazimnya, Azalina berkata parti politik memperoleh dana melalui melalui yuran keahlian, sumbangan individu dan korporat, pemilikan aset serta perniagaan bagi menampung kos operasi.
“Bagaimanapun, saluran pembiayaan berkenaan berpotensi membuka ruang dan meningkatkan risiko amalan rasuah.
“Sesetengah pihak mungkin mengambil kesempatan atas keperluan pembiayaan untuk mendapatkan pengaruh yang tidak wajar dengan mengharapkan habuan atau layanan istimewa sebagai balasan sokongan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat kepentingan persidangan dalam menawarkan platform bernilai untuk berdialog bersama pakar antarabangsa, pembuat dasar, pengawal selia dan parti politik.
“Saya berharap pertukaran idea ini bukan sahaja membimbing perangkaan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik tetapi juga mengekalkan momentum untuk reformasi.
“Perbincangan matang bersama pelbagai parti politik ini amat penting untuk memperkukuh demokrasi Malaysia dengan kemajuan yang didorong oleh permintaan masyarakat,” katanya.