14 JAN : Malaysia menyasarkan Pakistan sebagai hab pengedaran strategik bagi eksport minyak sawit ke Asia Tengah.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata sasaran tersebut sejajar dengan peningkatan permintaan dalam sektor makanan Pakistan yang bernilai AS$115 bilion (AS$1=RM4.50).
Katanya, peningkatan permintaan tersebut sekali gus membuka peluang besar bagi produk minyak sawit Malaysia di negara itu.
“Malaysia berhasrat menjadikan Pakistan sebagai hab pengedaran strategik bagi eksport minyak sawit ke Asia Tengah dengan memanfaatkan lokasi strategik serta berhampiran dengan pasaran pertumbuhan tinggi yang pesat berkembang.
“Kita menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak makan Pakistan selain menumpukan aspek memperkukuh usaha sama, meneroka produk-produk nilai tambah dan mempromosi amalan lestari,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyertai delegasi Kementerian Perladangan dan Komoditi ke Pakistan, baru-baru ini.
Delegasi itu diketuai oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut merasmikian Persidangan Minyak Makan Pakistan (PEOC) ke-7 di Karachi pada 11 Januari lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Parveev berkata MPOB turut berhasrat meningkatkan kerjasama dengan syarikat terkemuka dari Pakistan seperti Westbury Group yang mengendalikan Mapak Qasim Bulkers, Mapak Edible Oils dan FWQ Enterprises di Pelabuhan Qasim.
Jelas beliau, Mapak Qasim Bulkers merupakan rakan niaga penting bagi Malaysia di rantau itu dengan menguasai kira-kira 50 peratus import minyak sawit ke Pakistan serta mengendalikan lebih 90 peratus import minyak sawit di negara itu.
Sehubungan itu, katanya bagi meningkatkan lagi eksport Malaysia ke Pakistan, perbincangan mengenai aspek menaik taraf infrastruktur dan mempromosi import lemak khusus berasaskan sawit dan oleokimia turut diadakan semasa lawatan itu.
Katanya, kedua-dua negara dapat mengurangkan kos perdagangan dan meningkatkan kecekapan dengan memperkemas logistik serta memodenkan industri minyak dan lemak.
“Malaysia juga menyasarkan untuk mendapatkan semula bahagian pasarannya di Pakistan yang telah susut beberapa tahun kebelakangan ini dengan 90 peratus import minyak sawit Pakistan dibekalkan oleh Indonesia.
“Menerusi promosi amalan mampan dan memperkenalkan produk inovatif dan nilai tambah yang disesuaikan dengan pasaran tempatan, Malaysia mahu meningkatkan daya saingnya di Pakistan,” katanya.
Malaysia mengeksport sebanyak 860,260 tan minyak sawit ke Pakistan pada 2004, iaitu peningkatan sebanyak 14.2 peratus daripada 2023.
Selain itu, Mohd Parveev berkata terdapat peluang besar bagi mengembangkan eksport, terutama dalam minyak ditapis, lemak khusus dan oleokimia susulan unjuran sektor makanan Pakistan berkembang pada 7.5 peratus setiap tahun.