14 JAN : Petugas kesihatan di negara ini bakal mempunyai peluang untuk bertukar tempat bertugas melalui platform digital ‘Pertukaran Suka Sama Suka’, tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata platform itu dijangka direalisasikan pada suku ketiga atau keempat tahun ini yang memberi ruang pertukaran petugas skim sama tanpa campur tangan Bahagian Sumber Manusia.
“Perkara ini baharu dan sedang kita bincangkan dengan hangat. Harap-harapnya kita akan dapat merumuskan beberapa penemuan.
“Kita sangat mahukan perkara ini diberikan sebab ini adalah untuk kebajikan petugas atau penjagaan kesihatan pekerja kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah di Bangi, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Norazman Ayob dilaporkan berkata platform itu dijangka boleh dilancarkan 1 Jun ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata sejak tahun lalu, perbincangan mendalam bagi mewujudkan platform itu sudah bermula untuk memperkenalkan sistem yang dapat berfungsi dengan efisien tanpa campur tangan pentadbiran.
Dalam pada itu, beliau juga optimis platform itu mampu menangani isu seperti lesu upaya (burnout) dalam kalangan petugas kesihatan yang ditempatkan jauh dari kediaman mereka.