14 JAN : Sarawak akan menyokong mana-mana pihak yang membentuk Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Gerakan Parti Sarwak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata Malaysia memerlukan kerajaan yang kuat bagi menjamin kestabilan politik negara.
Justeru itu, beliau berkata GPS sentiasa menekankan kepentingan kestabilan politik bagi mengelakkan sebarang krisis berlaku di Semenanjung seperti krisi selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dahulu.
“Selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), GPS menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan selepas Muhyiddin berundur, GPS menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula sebagai pemimpin Persekutuan Malaysia.
“Sarawak berpendirian untuk menyokong pelantikan perdana menteri, selagi ia membawa kepada kestabilan politik negara” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘townhall’ sempena ulang tahun kelapan beliau sebagai Premier Sarawak di Kuching pada Isnin.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata penyertaan GPS dalam membentuk Kerajaan Pepaduan pada 2022 adalah kerana tidak ada gabungan politik yang mempunyai majoriti di kerusi Parlimen pada ketika itu.
Katanya, penyertaan itu juga bagi memastikan Malaysia mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil.
Pada masa sama, Abang Johari menegaskan kestabilan politik di negara ini perlu dipertahan bagi menghadapi sebarang masalah luar.
Mengambil contoh situasi ketegangan geopolitik di Laut China Selatan, beliau berkata situasi seperti itu mampu menjejaskan kedaulatan negara.
“Sarawak secara kebetulan menghadap Laut China Selatan yang bermakna Malaysia juga berada dalam kawasan itu.
“Jika Malaysia mengalami krisis politik, maka apa yang akan berlaku? Ini bermakna masalah luar boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia.
“Oleh itu, Malaysia harus mempunyai kerajaan yang kuat dan stabil yang menjamin keupayaan untuk mempertahankan diri,” katanya.