14 JAN : Ujian saringan air kencing untuk pengunjung konsert tidak praktikal untuk dilaksanakan susulan kekangan masa.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata proses mengambil sampel urin memakan masa yang lama untuk mendapatkan keputusan yang tepat.
Namun beliau menegaskan program dan kempen bagi pencegahan penyalahgunaan dadah di negara ini perlu dipergiat.
“Konsert bukannya berlangsung di sebuah dewan tetapi stadium. Proses pengambilan sampel air kencing bukan sembarangan. Ia membabitkan proses tertentu bagi menentukan keputusan positif atau negatif dan proses itu mengambil masa yang panjang.
“Justeru, usaha yang perlu difokuskan sekarang ialah program pencegahan. Saya melihat program pencegahan dan kempen itu lebih ampuh. Kita perlu mempergiatkan kempen dan aktiviti pencegahan secara lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Amanat Ketua Pengarah Dan Perhimpunan Bulanan AADK 2025, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan ujian saringan air kencing dijadikan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pengunjung konsert bagi mengelakkan pengambilan dadah ketika konsert berlangsung di negeri itu.
Namun Ruslin berkata, pihaknya bersedia mengambil sampel urin pengunjung konsert secara rawak.
Katanya, pelaksanaan itu boleh dibincangkan dengan penganjur konsert terbabit dan beliau sempat mengesyorkan agar logo antidadah dicetak pada setiap tiket konsert selain pendedahan dalam klip ringkas pencegahan sebelum konsert bermula.
“Satu lagi cadangan ialah menerapkan konsep kehadiran atau ‘omnipresence’. Contohnya sebelum konsert berlangsung pada waktu malam, AADK boleh datang pada sebelah petang bersama pasukan pencegahan dan bertemu orang ramai serta memberikan pendedahan.
“Kita boleh menunjukkan kepada orang ramai mengenai bentuk pil dadah dan sebagainya…kerana sebahagian daripada mereka tidak tahu,” katanya.
Pada sidang media sama, Ruslin berkata pihaknya mengesan ‘magic mushroom’ dilaporkan sebelum ini sebenarnya ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair untuk digunakan pada rokok elektronik atau vape.
“Daripada data yang kita dapat dan hasil ujian diperoleh daripada Jabatan Kimia, ia sebenarnya bukan ‘magic mushroom’ sebaliknya adalah ganja sintetik dimasukkan dan digabungkan dalam vape.
“Magic mushroom di luar sana adalah satu terminologi yang dipakai secara meluas, tetapi apa yang kita peroleh daripada ujian dijalankan adalah dadah sintetik sebenarnya,” katanya
Menurutnya, pengguanaan dadah jenis sintetik semakin popular dan digemari anak muda.
*Foto : Facebook AADK