15 JAN : Projek Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) yang dalam proses penggantian sistemnya sejak tahun lepas masih di peringkat pelbagai ujian.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ujian dinamik serta beberapa ujian yang berkaitan sedang dijalankan kontraktor projek itu dan masih belum ada tarikh ditetapkan untuk Aerotrain kembali beroperasi.
“Sekarang masih jalankan ujian dinamik tapi lepas itu ada ujian sistem sepenuhnya dan persepaduan sistem sebelum boleh diserahkan kepada pihak berkuasa untuk buat ujian terakhir.
“Walaupun sebelum ini mereka memberikan gambaran bahawa ia boleh siap pada 31 Januari tetapi setakat ini mereka belum berikan tarikh yang tetap atau tarikh tertentu untuk Aerotrain (mula operasi),” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.
Aerotrain merupakan sistem transit automatik yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kerap mengalami gangguan teknikal selepas beroperasi lebih dua dekad, sejak 1998.
Dalam pada itu, Loke sempat melahirkan lagi rasa tidak puas hati mengenai kelewatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membuat keputusan termasuk dalam projek Aerotrain itu.
Meski berdepan kritikan umum dan menjawab isu kelewatan projek itu namun Loke berkata tanggungjawab sepenuhnya terletak pada bahu lembaga pengarah dan pengurusan MAHB.
“Kita tidak berpuas hati dengan kelewatan keputusan pada masa lepas. Sebab itulah kita yakin penyusunan semula ini akan membantu memperkemas proses, membolehkan pelaksanaan yang lebih cepat dan kebertanggungjawapan yang lebih besar,” katanya.
Jun tahun lalu, MAHB menjangkakan projek aerotrain bernilai RM700 juta itu siap lebih awal menjelang 31 Januari berbanding tarikh asal 31 Mac.
Pada Mac 2022, projek penggantian itu dilaporkan akan siap dalam tiga tahun namun berlaku kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024.
Perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara pada 2023 dan digantikan dengan bas atas faktor keselamatan susulan insiden aerotrain terkandas.