15 JAN : Syarikat pelancongan yang tular selepas gagal menerbangkan lebih 300 jemaah untuk menunaikan umrah membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.
Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, Mohd Syahril Alias berkata pihaknya menawarkan tiga penyelesaian bagi isu tersebut.
“Saya memohon jutaan kemaafan dari hati yang tulus kepada tuan puan. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang memilih Hejira Travel,” katanya.
Menurut Mohd Syahril, pembayaran balik akan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas menandatangani surat aku janji.
“Tawaran pertama, pemulangan 100 peratus kerugian yang ditangguh jemaah, tawaran kedua penjadualan semula tiket penerbangan bagi jemaah yang masih ingin meneruskan ibadah umrah bersama kami dan ketiga pemberian wang RM5,000 sebagai kos bayaran penginapan jemaah sepanjang tempoh terkandas ini.
“Syarikat akan membuat surat aku janji (letter of undertaking) yang mengatakan sedia membuat pembayaran seratus peratus.
“Ia akan dibuat kepada jemaah dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas jemaah bersetuju menandatangi surat aku janji tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antrabangsa Malaysia (MHO) di Kuala Lumpur, hari ini.
Namun sidang media itu bertukar kecoh apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dibuat itu.
Terdahulu, lebih 300 jemaah umrah dilaporkan terkandas apabila penerbangan yang dijanjikan ditunda pihak syarikat pelancongan.
Sebahagian jemaah kemudiannya berkumpul di pejabat syarikat itu dan menuntut dikembalikan wang mereka.
Difahamkan Mohd Syahril ditahan polis petang tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyiasat perkara itu dan menasihati mana-mana jemaah yang terbabit membuat laporan polis serta aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.