15 JAN : Kesiapsiagaan kerajaan bagi menghadapi luruan monsun yang dijangka berlaku bermula hari ini sehingga 19 Januari depan berada pada tahap tertinggi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata mesyuarat jemaah menteri hari ini dimaklumkan luruan monsun itu membabitkan negeri di Selatan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata penduduk di kawasan selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak diminta untuk berwaspada bagi menghadapi situasi itu.
“Pagi tadi jemaah menteri telah diingatkan tentang amaran luruan monsun yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan ini akan berkuat kuasa sehingga 19 Januari.
“Tiga lokasi yang telah diberi amaran luruan monsun termasuk selatan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan juga Sabah.
“Persiapan kerajaan bagi menghadapi situasi ini berada pada tahap tertinggi, menerusi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negarta (NADMA) sentiasa bersedia untuk hadapi dan bagi agensi kementerian-kementerian seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tujuan telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof di Putrajaya, hari ini.
Pada 12 Januari, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilapor memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah serta selatan dan barat Sarawak, bermula hari ini ini hingga 19 Januari.
Mohd Hisham berkata ia berdasarkan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini yang menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka berlaku sepanjang tempoh berkenaan.
Justeru itu, beliau menasihati orang awam untuk sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.