15 JAN : Pemuda UMNO melancarkan kempen ‘pastikan halal ori, baru beli’ dalam rangka menyeru orang ramai menyemak sesuatu produk yang mempunyai logo halal sebelum membuat pembelian.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kempen berkenaan merupakan usaha Pemuda UMNO bagi memastikan pengguna tidak tertipu dengan logo halal yang dipamerkan syarikat pembekal.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk memuat turun aplikasi ‘Verify Halal’ yang diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Saya nak minta bantuan seluruh rakyat Malaysia, kalau pergi ke kedai dan mana-mana produk ada ada logo halal, periksa sendiri.
“Kalau tak ada dalam sistem, tolong beritahu kepada Pemuda UMNO dan kita akan pastikan mereka yang menggunakan logo halal tipu ini akan dikenakan tindakan sangat keras supaya kita nak bagitahu jangan khianat kepercayaan kami,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya pada Selasa.
Isnin lalu, Akmal dilapor menggesa polis serta agensi berkaitan mengambil tindakan susulan penemuan produk sandwic ‘ham dan cheese’ yang status halalnya diragui dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Beliau turut mempersoalkan bagaimana kedai serbaneka itu mendapat logo halal yang diletakkan pada bungkusan produk makanan berkenaan.
Dalam pada itu, Akmal turut mengingatkan pengeluar produk agar tidak menyalahgunakan logo halal semata-mata untuk melariskan produk.
“Jangan kerana kamu nak lariskan produk, kamu menipu orang Islam dalam negara ini.
“Jadi kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, ‘pastikan halal yang ori, baru beli’. Ini masa kita untuk banteras sama-sama,” katanya.
JAKIM dalam kenyataannya pada Selasa mengesahkan produk sandwic ‘ham and cheese’ yang dijual dalam premis universiti awam itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
JAKIM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut melakukan serbuan terhadap kilang pembuat roti sandwic itu di Sunway Damansara, Petaling Jaya pada Isnin lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati sijil pengesahan premis terbabit sudah tamat tempoh pada 15 Oktober 2023 dan premis berkenaan tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM.
Menurut JAKIM, logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic tersebut merupakan logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi, yang menjual perniagaannya kepada syarikat yang diserbu.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam pada Selasa memaklumkan sampel produk ‘ham dan cheese sandwich’ tersebut sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa bagi mendapatkan laporan status ujian asid deoksiribonukleik (DNA), untuk mengesan sama ada terdapat DNA babi dalam produk makanan berkenaan atau sebaliknya.
Pihak KK Supermart melalui peguam dilantik sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat terbabit pada 10 Januari lalu serta membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
KK Supermart turut membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar sandwic sementara dalam tempoh siasatan.
Tindakan menyalahgunakan label logo halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.