15 JAN : Syarikat pengeluar sandwich yang tular susulan status halal diragui sebelum ini mendakwa bahan mentah digunakan memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Shake And Bake Cafe Sdn Bhd berkata ia melibatkan semua bahan yang digunakan untuk pembuatan sandwich berkenaan iaitu roti, keju dan kepingan daging ayam.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu turut mengesahkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta JAKIM sudah menjalankan siasatan ke atas premis mereka, Jumaat lalu.
“Syarikat mengesahkan kepingan daging ayam digunakan dalam sandwich terbabit memiliki sijil halal yang sah daripada JAKIM.
“Kami berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan JAKIM untuk membantu siasatan kes ini,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, logo ‘ham and cheese’ ditampal pada bungkusan sandwich tular itu itu bukan dihasilkan syarikat pembekal terbabit.
Sabtu lalu, dilaporkan Universiti Malaya (UM) menutup serta-merta dua premis kedai serbaneka dalam kampusnya berikutan dakwaan penemuan produk sandwic yang diragui status halal.
Sementara itu, JAKIM mengesahkan produk ‘ham dan cheese’ yang dijual dalam premis di universiti itu tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selain syarikat pengeluar sandwic itu juga bukan pemegang SPHM.