16 JAN : Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM yang baharu.
Berita pelantikan itu dikongsi melalui Facebook Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), hari ini.
Semalam, Ismail menamatkan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) AKM di Jabatan Perdana Menteri.
“Seluruh warga kerja AKM mengucapkan sekalung tahniah kepada Datuk Ismail Yusop atas perlantikan sebagai Ketua Pengarah JKOM, Kementerian Komunikasi.
“Semoga Datuk diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan,” kata AKM.
Jawatan itu kosong selepas penamatan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dr Mohd Khairuddin Othman Ketua Pengarah JKOM pada September 2024.
Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM bermula 1 Mac 2024 menggantikan Datuk Mohammad Agus Yusof yang meletakkan jawatan pada November 2023.
Pada 2020, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dijenamakan semula sebagai JKOM dengan peranan serta fungsi yang berbeza.
JKOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat tepat, sahih serta bijaksana.