Malaysia harap kedamaian kekal di Gaza
16 JAN : Malaysia berharap perjanjian gencatan senjata yang dimetrai Israel dan Hamas di Gaza dapat mencapai kedamaian berkekalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya susulan keputusan perjanjian itu.
“Saya alu-alukan pengumuman gencatan senjata yang dijadualkan bermula Ahad ini. Langkah ini memberi kelegaan yang sangat diperlukan penduduk Gaza yang sudah menderita.
“Walaupun pembinaan semula adalah keutamaan mendesak, adalah penting untuk mengiktiraf bahawa kehilangan lebih 46,700 nyawa rakyat Palestin dan pemindahan lebih dua juta orang tidak boleh dan tidak harus dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani memaklumkan perjanjian gencatan senjata berjaya dicapai untuk 42 hari bagi fasa pertama.
Selain itu, Israel dan Hamas akan membebaskan tawanan masing-masing.
Menurut Anwar, gencatan senjata itu perlu menjadi batu loncatan kepada matlamat yang sudah lama tertangguh untuk menjadikan Palestin sebuah negara berdaya maju dan merdeka.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan segera menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba untuk mempercepat rancangan pembinaan semula Palestin.
“Kerjasama dan sokongan daripada rakan-rakan di Asia Timur amat penting bagi memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan cepat dan berkesan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau sempat memuji pihak yang terlihat dalam rundingan itu.
“Saya iktiraf usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat menjadi pengantara perjanjian ini Saya puji Presiden terpilih, Donald Trump dalam peranannya dalam rundingan itu yang membuahkan hasil.
“Masyarakat antarabangsa mesti pastikan ia ditegakkan dan membuka ruang perbincangan fasa berikutnya yang akan membawa ketenangan berkekalan dan pembinaan semula Gaza,” katanya.