Malaysia komited terap integrasi lebih erat di ASEAN
16 JAN : Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia komited menerapkan integrasi lebih erat dalam rantau ini selain meningkatkan perdagangan serta ekonomi juga integarasi tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengmbil contoh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimetrai baru-baru ini.
Katanya, JS-SEZ dijangka mampu memanfaatkan potensi bakat di wilayah Johor dan kedudukannya yang hampir dengan Singapura dapat menarik pelaburan serta mewujudkan peluang ekonomi bernilai tinggi.
“Begitu juga kami akan memberi keutamaan kepada meningkatkan kerjasama tenaga serantau melalui Grid Tenaga ASEAN, inisiatif penting untuk memacu peralihan tenaga di rantau ini,” katanya pada program InvestMalaysia di London, United Kingdom (UK), hari ini, lapor Bernama.
Minggu lalu, Malaysia dan Singapura memetrai perjanjian JS-SEZ di Putrajaya sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ke negara ini.
Di bawah JS-SEZ, Malaysia dan Singapura bekerjasama mempromosikan kedua-dua negara untuk menarik pelaburan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata menyepadukan grid tenaga Thailand dan Laos dalam rangkaian ASEAN yang lebih luas serta mengeksport tenaga hidroelektrik Sarawak ke Singapura antara langkah utama yang akan diambil.
Katanya, usaha itu penting bagi memperkukuh jaminan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga bersih di Global South.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia akan memastikan ASEAN kekal sebagai platform neutral untuk dialog dan kerjasama di Asia Pasifik.
Beliau sempat menyentuh soal penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Katanya, penyertaan UK itu membuka akses kepada pasaran utama eksport Malaysia seperti minyak sawit, getah dan kayu.
“Pada masa yang sama, kami berminat untuk meneroka kerjasama dengan negara lain di Global South, termasuk negara-negara BRICS untuk membuka saluran perdagangan baharu,” katanya.
Sebelumnya, Anwar mengadakan sesi meja bulat bersama kapten-kapten industri di UK yang membincangkan pelbagai isu berkaitan ekonomi dan pelaburan bersama 15 syarikat terlibat.
Sesi yang berlangsung selama kira-kira 45 minit itu melibatkan pelbagai sektor antaranya pelaburan, pakar pasaran baru muncul, pengurusan aset dan kewangan.
Syarikat terlibat termasuk Amundi Asset Management, Ashmore, Colchester Global Investors, JPM Asset Management UK danNinety One UK Ltd.
Turut serta dalam sesi itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.