Malaysia-UK bincang usaha tingkat kerjasama strategik
16 JAN : Malaysia dan United Kingdom (UK) membincangkan usaha mempertingkat kerjasama strategik kedua-dua negara dalam semua bidang.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya, Keir Starmer perbincangan mereka menumpu kepada ekonomi, pertahanan dan pendidikan.
Malah isu penyelesaian di Gaza turut dibincangkan dengan Starmer dalam pertemuan itu.
“Kami senada dan sepakat untuk meningkatkan kerjasama strategik lebih erat dan rapat dalam bidang pendidikan, ekonomi, pertahanan, tenaga, dan kecerdasan buatan dan turut membincangkan penyelesaian isu Gaza.
“Hal-hal yang dibincangkan ini akan seterusnya dibawa ke peringkat menteri masing-masing bagi tujuan pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun,” katanya.
Menurut Anwar, beliau menggunakan lawatan itu bagi menyatakan kesediaan Malaysia menerima lebih ramai pelabur.
“Memandangkan ini adalah lawatan ke negara Eropah pertama selaku Pengerusi ASEAN, saya menggunakan kesempatan yang ada bagi menyatakan kesediaan Malaysia untuk menerima lebih ramai pelabur sekaligus membentuk sinergi ekonomi baharu,” katanya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mempelawa Starmer mengunjungi Malaysia.
UK adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia di Eropah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion) dalam tempoh 11 bulan pertama 2024.