16 JAN : Pusat data di Malaysia tidak terjejas dengan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata buat masa ini kerajaan memilih untuk menunggu dan menilai potensi kesan ke atas pengaturannya pada masa akan datang.
“Kita akan melibatkan diri secara dalaman dengan pihak-pihak berkepentingan. Kita juga akan berhubung dengan pentadbiran AS yang akan datang bagi memahami sejauh mana peraturan tersebut.
“Kita akan merebut peluang untuk terlibat dengan pentadbiran yang akan datang apabila ia ditimbulkan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptamanya pada Siri CEO: Forum Ekonomi & Perniagaan 2025, hari ini.
Terdahulu, AS dilaporkan mengenakan sekatan baharu terhadap eksport cip AI dan Malaysia dan negara lain diklasifikasikan sebagai negara Tingkat 2.
Di bawah sekatan itu, syarikat di AS boleh memohon kebenaran mengeksport cip ke pusat data seluruh dunia di bawah kuota 25 peratus daripada jumlah kuasa pengkomputeran yang terletak di luar negara Tingkat 1 dan di bawah 7.0 peratus di mana-mana negara Tingkat 2.
Sementara itu, dalam ucapannya, Chin Tong berkata Malaysia menjadi destinasi pilihan pelabur susulan ekosistemnya yang mantap.
“Memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rantaian bekalan global telah berpindah, ternyata para pelabur ini telah memilih Malaysia bukan kerana kita mempunyai banyak taman industri tetapi disebabkan kita mempunyai ekosistem yang mantap,” katanya.
Dalam pada itu katanya, taman perindustrian tidak sepatutnya menjadi projek hartanah semata-mata sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian bekalan serta ekosistem.
“Apabila membina taman perindustrian, kita mesti mengubah minda bagi mengasingkan tempat kerja daripada kediaman atau tempat tinggal,” katanya.