17 JAN : Pengukuhan hubungan perdagangan Malaysia dan United Kingdom (UK) dizahirkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETCO) pertama dipimpin menteri berkaitan kedua-dua negara.
Mesyuarat itu turut disokong oleh keanggotaan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans- Pasifik (CPTPP).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata potensi kerjasama dalam bidang kastam, kewangan Islam, koperasi dan perusahaan sosial dibincangkan dengan Menteri Dasar Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi UK, Douglas Alexander.
“Kita telah menyediakan pelan kerja bersama bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keutamaan seperti perkhidmatan guaman, pendidikan, standard dan penilaian pematuhan, pertanian, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Malaysia dan UK turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang kastam, kewangan Islam, koperasi, dan perusahaan sosial.
“Insya-Allah, hubungan kukuh ini akan memanfaatkan kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mesyuarat itu dianjurkan sempena dengan lawatan kerja lima hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UK.
Dalam pada itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan itu berkata Tengku Zafrul dan Alexander turut mengulas soal CPTPP.
Kedua-dua menteri mengalu-alukan perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dan UK susulan penyertaan negara maju itu yang berkuat kuasa 15 Disember lalu.
“Kedua-dua pihak komited untuk terus bekerjasama rapat bagi menyokong perniagaan Malaysia dan UK memanfaatkan perjanjian ini dengan berkesan,” katanya.
Hubungan ekonomi dua hala bagi tempoh Januari hingga November 2024 menyaksikan UK menjadi rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia serta rakan dagang keempat terbesar di Eropah.
Jumlah perdagangan Malaysia dan UK pula mencecah RM15.29 bilion (AS$3.34 bilion).