17 JAN : Pengendali Facebook dan Instagram, Meta sudah pada peringkat akhir mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) untuk terus beroperasi di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dokumentasi sedang disiapkan bagi memenuhi keperluan perundangan khas sebagai sebahagian proses mendapatkan ASP.
“Meta dalam proses akhir menyerahkan beberapa dokumen,” katanya dalam rancangan bual bicara RTM On The Table ‘Social Media Licensing in Malaysia: Key Insights & Impact’.
Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata X dan Google yang memiliki YouTube masih melalui penilaian bagi memastikan status pematuhan mereka.
Menurutnya, Google mendakwa YouTube itu bukan platform media sosial.
Namun Fahmi berkata, pihaknya bertegas beberapa bahagian YouTube seperti YouTube Shorts berfungsi seperti media sosial.
Sementara itu kata Fahmi, X mendakwa platformnya itu mempunyai kurang daripada lapan juta pengguna di Malaysia seperti ditetapkan dalam peraturan pelesenan itu.
“Kini kami sedang menyiasat dakwaan ini dan meneruskan libat urus bagi memastikan kesemua platform mematuhi garis panduan tersebut,” katanya.
Selain itu, perbincangan turut dijalankan bersama Microsoft yang memiliki LinkedIn selepas menunjukkan platform pangkalan pengguna Malaysia itu boleh melebihi lapan juta dalam suku pertama tahun ini.
“Kami sudah menghubungi Microsoft kerana LinkedIn menganggarkan pangkalan pengguna mereka akan melepas tahap ambang.
“Selain itu, kami ada menerima aduan mengenai penipuan pekerjaan (job scam) di LinkedIn dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat berurusan dengan mereka bagi menangani kebimbangan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menekankan komitmen kerajaan dalam menguatkuasakan pelesenan itu bagi platform-platform yang melebihi ambang pengguna ditetapkan.
“Katanya, ia bagi mengimbangi peraturan dengan kebebasan bersuara dan memastikan keselamatan dalam talian.
“Isu ini bukan mengenai kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini mengenai keselamatan dalam talian.
“Ia tentang memastikan di samping kita mempunyai akses internet mudah alih yang lebih murah, lebih pantas, kita juga mahukan internet yang lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga kita,” katanya.