17 JAN : Kementerian Kesihatan (KKM) akan memutuskan pelaksananan Sistem Waktu BekerjaBerlainan (WBB) selepas mencapai kata putus dalam sesi pemukiman pimpinan tertinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM juga melaksanakan sesi libat urus pagi tadi bersama lebih 1,000 pegawai dan pakar perubatan di mana dapatannya akan dibawa ke pemukiman itu.
Menurut Dr Dzulkefly, WBB merupakan sistem ketiga yang selari dengan sistem atas panggilan (on call) sedia ada dan syif bagi pegawai serta pakar perubatan.
Katanya, cadangan perubahan jadual kerja itu dibina petugas KKM hasil libat urus yang dibuat sejak 22 Januari 2024 di beberapa fasiliti kesihatan terpilih yang melibatkan pegawai dan pakar perubatan secara bersasar.
“WBB bertujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan, serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
“Pelaksanaannya mensasarkan untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terbabit,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata WBB itu bagi memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan dan mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu, dengan tiga kali atas panggilan seminggu, kepada maksimum 72 jam seminggu.
Terdahulu, pelaksanaan WBB menerima bantahan beberapa pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
MMA bimbang pelaksanaan WBB akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada selain menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Sementara Hartal Doktor Kontrak menuntut KKM menarik balik pekeliling itu bagi mengelak kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pelaksanaan WBB ditangguhkan.
Dalam sistem syif baharu ini, tiada elaun ‘on-call’ pada hari bekerja dan syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dalam tempoh 45 jam seminggu.
Dr Dzulkefly berkata beliau meneliti setiap pandangan bagi tujuan penambahbaikan namun beliau meminta diberi ruang untuk KKM meneliti isu tersebut.
“Persoalannya bukan pelaksanaan (WBB). Kita sudah buat keputusan untuk melaksanakan projek rintis, jadi apa pun, projek rintis akan dapat dijalankan supaya titik bengit dalam pelaksanaannya akan terserlah dan dikenal pasti,” katanya.
Mengulas soal pekeliling yang menyatakan sistem itu akan dilaksanakan mulai 1 Februari ini, beliau menjelaskan ia bukan arahan sebaliknya adalah garis panduan supaya setiap jabatan dan hospital terpilih bersedia untuk melaksanakannya termasuk dari segi penyusunan jadual pegawai perubatan yang terbabit.