17 JAN : Umat Islam diseru untuk terus menghulur bantuan kepada Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata rakyat Palestin memerlukan sokongan masyarakat dunit untuk membina kehidupan semula.
“Sesungguhnya mangsa-mangsa di Palestin telah melalui konflik ini dengan penuh kesengsaraan dan penderitaan. Mereka memerlukan sokongan daripada masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan mereka.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam untuk terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani mengumumkan perjanjian gencatan senjata berjaya dicapai untuk 42 hari bagi fasa pertama bermula Ahad ini dengan Israel dan Hamas akan membebaskan tawanan masing-masing.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait perkembangan terbaharu itu.
“Pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuat kuasa pada Ahad ini adalah satu perkembangan positif serta amat dialu-alukan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan gencatan senjata tersebut mestilah menjadi batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin berdaya maju, berdaulat dan merdeka yang telah lama tertangguh,” katanya.
Dalam pada itu beliau mengajak umat Islam sam-sama berdoa kepada Allah SWT agar masyarakat di Palestin terus diberikan keafiatan dan kesejahteraan.