Lawatan PM ke UK tarik potensi pelaburan RM11 bilion
18 JAN : Lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK) berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion.
Ini termasuk pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia cerminan keyakinan pelabur asing terhadap dasar negara selepas beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di London.
Pada masa sama, Malaysia juga menarik potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang sebanyak RM 500 juta meliputi produk peralatan dan komponen pesawat.
“Saya ada beberapa pertemuan dengan ketua-ketua syarikat dan dalam pertemuan itu dizahirkan usul mereka.
“Selain daripada pelaburan, ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk mengimport barangan sekitar masa singkat kira-kira RM500 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja selama lima hari ke UK, malam tadi, lapor Awani.
Selain itu, katanya, Malaysia dan UK juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pada tahap perkongsian strategik meliputi pelbagai sektor.
Ini termasuk bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) dan digital, perubahan iklim, pendidikan tinggi, pertahanan serta keselamatan.
“Pertemuan dengan beberapa syarikat yang diatur oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) nampaknya kesediaan menunjukkan peningkatan mendakak.
“Pertama mereka melihat ada kerjasama yang lebih erat antara dua kerajaan. Keduanya, kesungguhan kerajaan pentadbiran Keir Starmer (Perdana Menteri UK) untuk meningkat hubungan dengan Malaysia,” katanya.