Malaysia main peranan selesai isu Myanmar
18 JAN : Malaysia akan memainkan peranan selaku Pengerusi ASEAN tahun ini untuk menyelesaikan isu Myanmar yang masih belum menemui noktah.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan perkara itu ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa dan Menteri Luar Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Mohd Yusof, hari ini.
Pertemuan secara berasingan dan tertutup itu diadakan pada sela-sela Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang membuka tirainya di Langkawi, hari ini, lapor BH.
Maris menyatakan keyakinan serta sokongan penuh kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam mengekalkan kestabilan serta keamanan di rantau ini.
Mohamad dan Maris juga senada dalam isu Myanmar yang dilihat memerlukan penyelesaian segera melalui pendekatan kesatuan dan berpusat dalam kalangan negara ASEAN lain.
Dalam pertemuan sama, keperluan inisiatif untuk menggerakkan ASEAN ke arah yang lebih berorientasikan hasil turut dibincangkan terutama dalam bidang pelancongan melalui pendekatan ‘Enam Negara, Satu Destinasi’.
Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor inovasi, tenaga, pendidikan, keselamatan makanan, logistik, telekomunikasi, pelancongan, dan kesihatan.
Sementara dalam pertemuan dengan Erywan, beliau menegaskan keperluan menjadikan ‘Five-Point Consensus’ yang dimeterai pada 2021 sebagai rangka kerja dalam menyelesaikan isu di Myanmar.
Pada masa sama, kegiatan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN perlu dipertingkat melalui pendekatan menggalakkan penglibatan sektor swasta yang lebih besar.
Malaysia-Brunei turut berbincang mengenai usaha pengukuhan kerjasama dua hala dalam perdagangan, pelaburan, hubungan rakyat dan pelancongan.