Malaysia sedia depani ketidaktentuan politik, ekonomi bawah Trump
18 JAN : Malaysia menyatakan kesediaan berdepan sebarang ketidaktentuan politik atau ekonomi yang mungkin timbul daripada pentadbir baharu Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masih terlalu awal untuk menjangkakan sebarang ketegangan bakal timbul antara China dan AS di bawah pentadbiran Donald Trump yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), 20 Januari depan.
Tegasnya, Malaysia tetap kekal dengan dasar berkecuali dan mengadakan libat urus dengan kedua-dua negara itu seperti yang terjalin selama beberapa dekad lalu.
Anwar berkata, China telah menjadi rakan dagangan yang sangat penting untuk Malaysia manakala AS terus menjadi pelabur terbesar di Malaysia, syarikar seperti Google dan Amazon melakukan pelaburan besar kepada negara.
“Mungkin akan ada sedikit perubahan tetapi saya pasti kita akan dapat mengadakan libat urus dengan China dan AS,” kata Anwar ketika berucap pada majlis makan malam dan sesi libat urus bersama lebih 700 diaspora Malaysia sempena lawatan kerjanya selama lima hari ke United Kingdom.
Pada sesi sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan sempat menekankan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara agar tidak memandang rendah terhadap kemajuan teknologi, kepakaran mahu pun bakat yang ada di tanah air.
Menurut Anwar ia dibuktikan dengan kedatangan pelabur asing tanpa putus yang sekali gus mengiktiraf penguasaan teknologi di Malaysia.
Jelasnya, Infineon Technologies AG yang merupakan pengeluar semikonduktor terbesar di Jerman melabur enam bilion euro kerana melihat Malaysia mempunyai tahap kepakaran, teknologi dan bakat selain di negara mereka.
Usai lawatan kerja selama lima hari di UK, Anwar dan delegasi Malaysia meneruskan lawatan kerja ke Belgium selama dua hari.
Lawatan sulung Anwar ke Belgium situ bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dengan Belgium serta Kesatuan Eropah (EU).
Turut serta dalam lawatan itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Selepas lawatan dua hari itu, Anwar akan berlepas ke Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos.