20 JAN : Kementerian Komunikasi akan memberi fokus liputan rangkaian 5G di zon perindustrian.
Menteri, Fahmi Fadzil berkata pihaknya sudah mengenal pasti lebih 67 kawasan dalam zon perindustrian yang perlu diberi keutamaan.
“Untuk rangkaian 5G, fokus tidak semestinya untuk capaian 100 peratus.
“Fokus kita adalah beberapa kawasan yang kita lihat boleh menerima manfaat paling banyak, contohnya di kawasan-kawasan perindustrian.
“Ini supaya syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kilang-kilang boleh memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Big Data yang memerlukan internet berkelajuan tinggi dan selamat.
“Jadi fokus kita selepas ini adalah untuk memastikan sektor-sektor yang boleh menerima manfaat paling besar daripada kelajuan internet 5G, mereka boleh menempahnya,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa di ibu negara pada Ahad.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR), 12 Februari depan.
“Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita akan bincang termasuk mengenai pelaksanaan rangkaian 5G, sama ada yang pertama di bawah Digital Nasional Berhad atau yang kedua di bawah U Mobile,” katanya.
Terdahulu, Fahmi berkata liputan rangkaian 5G seluruh negara sudah mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024 sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara terpantas di dunia memperluas aksesk komunikasi.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Fahmi mengingatkan orang ramai terutama warga emas agar sentiasa waspada terhadap penipuyang sentiasa mencari peluang menjalankan kegiatan jenayah pada musim perayaan.
“Pada waktu-waktu tertentu, scammer sangat cekap untuk melihat trend dalam kalangan pengguna.
“Contohnya sebelum musim haji, scammer akan sasar mereka yang menyimpan di Tabung Haji. Kalau Tahun Baharu Cina, kemungkinan besar scammer akan mula mencari mangsa dari kalangan mereka yang akan menyambut perayaan itu.
“Jadi pesanan saya adalah sentiasa berhati-hati sekiranya anda menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan apa-apa yang dibangkitkan tidak masuk akal atau luar daripada kebiasaan.
“Jangan terlalu mudah percaya, sekiranya anda menjadi mangsa segera telefon 997,” katanya.