Pelaburan dari UK bukti kestabilan ekonomi, politik Malaysia
20 JAN : Kejayaan delegasi Malaysia menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam lawatan kerja sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK), baru-baru ini, bukti Malaysia diyakini sebagai sebuah negara yang stabil.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat kewibawaan Anwar dalam mengadakan hubungan diplomatik secara bersemuka dengan negara lain juga memberi gambaran keadaan ekonomi dan politik Malaysia berada pada tahap baik.
“Ternyata inisiatif Anwar melalui lawatan kerja ke UK berjaya memacu ekonomi negara, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global.
“Jadi dalam hal ini, pertemuan secara bersemuka sangat penting kerana Anwar bijak menjual Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang selamat kerana iklim ekonomi dan politik yang amat stabil di Malaysia.
“Pertemuan secara bersemuka ini tidak hanya dengan Perdana Menteri UK, Keir Starmer sahaja, malah ia membuka membuka peluang kepada ahli-ahli perniagaan serta syarikat-syarikat besar dari negara itu kerana Anwar sendiri yang membuat pitching kepada pelabur-pelabur di UK,” katanya kepada BBCPORTAL.
Sabtu lalu, Perdana Menteri memaklumkan lawatan kerjanya ke UK pada 14 hingga 19 Januari lalu berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.
Menurut Anwar, kejayaan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar negara selepas beliau dan delegasi mengadakan beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di UK.
Dalam pada itu, Azmi menambah ketrampilan diplomasi Anwar semasa lawatan kerja ke UK juga turut memberi gambaran yang baik terhadap politik Malaysia.
Jelas beliau, lawatan tersebut menunjukkan impak nyata termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
“Ia penting kerana pelabur asing khusunya dari UK memerlukan jaminan bahawa Malaysia adalah satu negara yang stabil dan tidak perlu dikhuatiri untuk pelabur daripada UK melabur di negara ini.
“Mungkin ramai pelabur daripada England, namun sebagai contoh, Scotland, Wheels dan Ireland Utara tidak banyak tahu tentang kestabilan politik di Malaysia serta manfaat melabur di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dilihat membuka laluan yang lebih mudah untuk perdagangan dan pelaburan bersama Malaysia.
Katanya, CPTPP merupakan satu permulaan hubungan perdagangan yang baik antara Malaysia dan UK kerana kedua-dua negara tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan bebas (FTA) selepas UK keluar daripada Kesatuan Eropah pada 2020.
“Selepas UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), Malaysia dan UK tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan FTA, namun selepas UK diterima masuk dalam perjanjian CPTPP di mana Malaysia adalah sebahagiannya, maka ini dikatakan boleh melonjak hubungan dagang antara Malaysia dan UK.
“Dalam hal ini, jumlah dagangan antara kedua dua negara adalah seimbang walaupun Malaysia dikatakan lebih sedikit tetapi tidak banyak,” katanya.
CPTPP adalah blok perdagangan Asia-Pasifik yang terdiri daripada 11 buah negara.
Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024 menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam, manakala UK menyertai kerjasama itu pada Disember lepas.
Mengulas mengenai kerjasama dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) antara Malaysia dan UK, Azmi berpendapat teknologi AI di UK lebih ke hadapan berbanding Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut memuji usaha Perdana Menteri dalam menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam bidang teknologi tinggi khususnya AI.
“Ada yang berpendapat bahawa teknologi AI di UK lebih ke hadapan berbanding dengan AS, cuma kelebihan kepada AS adalah kerana mereka mengeluarkan cip AI.
“Tetapi hakikatnya banyak penggunaan teknologi AI yang berada di UK dalam sektor pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang menggunakan AI.
“Jika ada pelajar Malaysia yang hendak mendalami teknologi AI lebih sesuai pergi ke UK jika dibandingkan AS kerana boleh dikatakan teknologi di UK amat tinggi. Mereka menggunakan teknologi ini dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL