20 JAN : Kerajaan perlu membekalkan peralatan teknologi termasuk kamera litar tertutup berdefinisi tinggi (HD CCTV) untuk memperkasa pencegahan jenayah di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penguatkuasaan undang-undang kini tidak hanya bergantung kepada pegawai atau anggota semata-mata sebaliknya sokongan peralatan berteknologi tinggi juga diperlukan.
“Saya yakin kepolisan moden tidak lagi harus dengan meramaikan ‘omnipresence‘, ertinya mereka yang beruniform atau tidak beruniform berada di lokasi tertentu, tetapi lebih kepada peralatan.
“Tindakan segera dalam memacu pencegahan dan penguatkuasaan hendaklah disegerakan. Terdapat negara maju yang mempunyai HD CCTV (kamera litar tertutup berdefinisi tinggi) yang dipasang di setiap 50 meter di kawasan sensitif dan ini harus dilakukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pameran dan Sidang Kemuncak Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan perasmian, Ahmad Zahid berkata penggunaan pengenalan wajah berdefinisi tinggi dan teknologi CCTV canggih mampu meningkatkan usaha pencegahan jenayah dengan ketara, mengurangkan masa tindak balas dan meningkatkan ketepatan.
“Saya percaya teknologi adalah teras strategi keselamatan moden. Kecerdasan buatan (AI), data besar dan analitik sedang mengubah cara kita mengesan, mencegah, dan bertindak balas terhadap ancaman.
“Malaysia secara aktif melabur dalam keselamatan berasaskan AI untuk membolehkan pengesanan ancaman secara masa nyata dan tindak balas pantas,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.