21 JAN : Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ bagi melarang perbincangan berkait titah adendum pada Isnin.
Ia berkait dakwaan kewujudan dokumen tambahan itu untuk membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan mengesahkan perkara itu kepada Bernama.
Katanya, permohonan itu difailkan secara dalam talian pada 7.45 malam tadi.
Terdahulu, Shamsul memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan itu kerana ia melibatkan isu sensitif.
Kata Shamsul, permohonan itu bagi melarang mana-mana perbincangan dibuat untuk melindungi institusi diraja susulan isu itu menyentuh raja, agama dan kaum (3R).
Namun, kerajaan menafikan telah mengeluarkan arahan kepada AGC untuk bertindak sedemikian.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata larangan itu juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri, minggu lalu.
Sebelum ini, kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari 2024.
Dalam prosiding tertutup di Mahkamah Tinggi Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hayatulakmal Abdul Aziz menetapkan 11 Mac depan untuk pengurusan kes melalui e-review.