21 JAN : Kerajaan akan melancarkan Chatbot pada aplikasi WhatsApp dalam masa terdekat bagi menyemak kesahihan berita.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Chatbot itu akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, inisiatif itu merupakan salah satu usaha menambah baik portal Sebenarnya.my.
“Orang ramai yang kurang pasti dengan satu-satu berita boleh panjangkan perkara itu kepada Chatbot.
“Jadi Chatbot yang menggunakan AI atau kecerdasan buatan akan memberikan respon kepada pertanyaan tersebut sama ada maklumat itu sahih atau sebaliknya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama media Kelantan, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan dari masa ke masa, sistem itu akan dinaik taraf untuk kandungan video dan grafik.
Namun, pada masa sekarang Chatbot itu akan berfungsi untuk mesej dalam bentuk teks sahaja.
“Jadi, saya harap orang ramai lebih berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu mesej yang diterima,” katanya.