Perkukuh sokongan kepada Asia Tenggara, EU diberitahu
21 JAN : Kesatuan Eropah (EU) digesa untuk memperkukuh sokongannya terhadap Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan dalam krisis iklim yang menjadi cabaran termasuk pembiayaan lebih tinggi, pelaburan hijau, bantuan teknikal dan inisiatif pembinaan kapasiti.
Menurut Anwar, kemampanan merupakan teras utama Malaysia dalam menggalas jawatan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Malaysia juga komited menggerakkan ASEAN untuk melakukan tindakan kolektif yang berani, bertujuan melindungi masa depan tanpa menjejaskan hak pembangunan dan kemakmuran ekonomi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience’ di College of Europe (COE) di Bruges, Belgium, semalam, lapor Bernama.
Perdana menteri tiba di Brussels, Ahad lalu dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Belgium dan bertemu pemimpin EU.
Dalam pada itu, Anwar berkata perkongsian yang saksama penting bagi memajukan matlamat Perjanjian Paris selain memastikan negara kurang maju menerima sokongan diperlukan sebagai langkah penyesuaian dan mitigasi iklim.
Beliau berkata, perkongsian adalah kunci untuk meneruskan harapan Perjanjian Paris, dan Malaysia menghargai sokongan berterusan EU terhadap aspirasi iklim Asia Tenggara.
“Peralihan daripada penggunaan bahan bakar fosil, membangunkan grid kuasa serantau, melaksanakan cukai karbon, membina daya tahan rakyat terhadap cuaca melampau dan memelihara biodiversiti yang kaya serta penyerapan karbon semula jadi.
“Semua ini hanyalah sebahagian daripada aspirasi Asia Tenggara ketika kami berusaha mencapai masa depan lebih bersih, di samping memastikan manfaat pembangunan tersedia untuk semua dan melindungi segmen masyarakat yang paling rentan,” katanya.
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium.
Selain itu, kedua pemimpin turut membincangkan isu pendidikan, pelaburan, perdagangan, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama EU selain isu antarabangsa antaranya krisis di Gaza, Myanmar dan konflik Rusia-Ukraine.
“Kami percaya, dan senada untuk terus memperkukuh hubungan dan membentuk sinergi kerjasama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran sejagat,” kata Anwar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Majlis Eropah, António Costa.
Kata Anwar, pertemuan itu membuka seluas-luasnya peranan yang boleh dimainkan Malaysia dan Majlis Eropah dalam mencorak sinergi kepelbagaian budaya, kesatuan dan kebersamaan merentasi benua seluruh dunia.
“Khususnya membentuk persefahaman terkait soal keamanan dan hak asasi manusia membabitkan soal gencatan senjata di Gaza dan Ukraine,” katanya dalam kemas kini di Facebook.
Beliau turut bertemu dengan Wakil Tinggi untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan / Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas dan bertukar pandangan mengenai demokrasi, perihal kemasyarakatan, pelaburan, perdagangan dan kecerdasan buatan (AI).
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim