21 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, Donald Trump.
Anwar melahirkan harapan agar dapat bekerjasama dengan Trump bagi mengukuhkan hubungan Malaysia-AS.
“Presiden Trump membawa pendekatan unik dalam menangani cabaran domestik dan global seperti yang dibuktikan peranan pentingnya dalam memudahkan gencatan senjata Gaza walaupun sebelum pelantikannya.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam keutamaan bersama pentadbiran Trump berusaha untuk melakar kegemilangan baharu bagi Amerika,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Trump atas pelantikannya sebagai Presiden AS ke-47 dan mengalu-alukan pemimpin Parti Republican itu ke Malaysia.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan Presiden Trump untuk mengukuhkan hubungan yang teguh, saling melengkapi dan berpandangan ke hadapan antara Malaysia dan AS.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, saya berharap untuk mengalu-alukan Presiden Trump ke Malaysia, perkukuh pembaharuan keterlibatan AS dengan rantau kita,” katanya.
Terdahulu, Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-47 di hadapan Ketua Hakim, John Roberts, hari ini.
JD Vance turut mengangkat sumpah jawatan Naib Presiden ke-50 di hadapan Hakim Brett Kavanaugh pada acara sama.