21 JAN : Polis tidak akan memeriksa telefon bimbit orang awam secara rambang di tempat awam.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata pegawainya hanya akan memeriksa telefon bimbit terhadap individu disyaki bagi mana-mana siasatan kes.
“Maksudnya mesti ada maklumat, risikan atau syak wasangka munasabah yang menunjukkan seseorang individu itu melakukan kesalahan atau jenayah. Ini menyebabkan individu itu dicurigai.
“Ia juga hanya akan dilakukan oleh pegawai polis berpangkat inspektor ke atas,” katanya, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata pemeriksaan dilakukan berdasarkan undang-undang sedia ada serta peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pemeriksaan bagi siasatan kes hanya membolehkan anggota dan pegawai pasukan itu menjalankan penugasan mereka dengan baik serta menghormati hak individu bagi mengekalkan kepercayaan awam.
Pada 13 Januari lalu, Razarudin berkata hak polis untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau maklumat berhubung seseorang disyaki melakukan kesalahan.
Ia termaktub mengikut Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Seksyen 249 AKM dan Seksyen 20(g) Akta Polis.
Katanya, Seksyen 292 Kanun Keseksaan boleh digunakan jika semasa pemeriksaan dilakukan telah menemukan bahan-bahan lucah dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 seperti aplikasi judi dalam talian, dan kedua-dua kesalahan itu membolehkan tangkapan tanpa waran.