21 JAN : Kos bagi kerja menaik taraf akses Internet di 23 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM668 juta.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerja dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu membabitkan beberapa fasa yang dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.
“Antara aduan disampaikan oleh pihak universiti kepada kementerian dan MCMC sebelum ini ialah kemudahan ada Internet, tetapi isyarat Wi-Fi lemah.
“Kami akan usahakan melalui penambahbaikan akses dan liputan mudah alih termasuk dengan penambahan menara perkhidmatan dalam serta di luar bangunan kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, kerja naik taraf fasa pertama bermula awal tahun ini membabitkan Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis yang dijangka siap bulan depan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerja menaik taraf itu bagi memastikan capaian Internet pelajar meningkat di dalam kampus .
“Misalnya di UMK ada tiga kampus yang akan dipasang hampir 1,000 titik akses Wi-Fi pada fasa kedua nanti.
“Langkah ini akan dapat membantu meningkatkan capaian Internet penuntut,” katanya.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) dalam usaha meningkatkan kesedaran penuntut terhadap keselamatan penggunaan Internet.
“Peruntukan RM10,000 diberikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar di universiti. Ini bagi tujuan program meningkatkan kesedaran supaya para pelajar dapat manfaatkan Internet dengan selamat dan tidak menjadi mangsa scam, buli siber atau jenayah-jenayah di media sosial,” katanya.
Sementara melalui kemas kini hantaran di akaun rasmi Facebook, Fahmi berkata pelaksanaan kempen itu bagi memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
“Dalam usaha memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia, Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian berjaya direalisasikan oleh Kementerian Komunikasi.
“Siri jelajah ini merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui MCMC. Tujuannya untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian, sekali gus mengelakkan pengguna daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian,” katanya.
Menurutnya, jelajah itu akan diperluas ke seluruh negara dan pada masa sama beliau mengajak orang ramai memainkan peranan untuk memerangi jenayah dalam talian, sekali gus melindungi anak-anak serta keluarga daripada menjadi mangsa.