22 JAN : Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus buat kali ke-10 berturut-turut sejak Mei 2023.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM bagi tahun 2025, hari ini.
OPR menjadi penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit tempatan.
BNM menjelaskan penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi Malaysia terus kukuh didorong perbelanjaan dalam negeri berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih tinggi.
“Pada masa hadapan, kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada 2025, didorong oleh perbelanjaan dalam negara yang berdaya tahan.
“Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah,” kata BNM menerusi Pernyataan Dasar Monetari.
Kata bank pusat itu, langkah-langkah Belanjawan 2025 akan memberi sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sementara itu, kata BNM ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024 mencerminkan pertumbuhan sebenar ekonomi utama yang lebih baik dan perdagangan global yang lebih kukuh.
“Bagi 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.
“Perdagangan global dijangka kekal mampan secara keseluruhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi yang berterusan,” katanya.