22 JAN : Agensi penguatkuasaan boleh memanfaatkan keupayaan rangkaian 5G yang membolehkan komunikasi tersulit diwujudkan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata akses kepada jalur lebar yang selamat dan boleh dipercayai bebas daripada rangkaian awam memberi manfaat besar kepada mana-mana organisasi terutama penguat kuasa.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanfaatkan ciri yang merupakan sebahagian daripada kemajuan yang sedang dibincang di peringkat global.
“Ini adalah ciri 5G. Apabila anda melihat kepada spektrum ini, kami menyediakan pembahagian jalur rangkaian selamat khusus dalam spektrum untuk rangkaian 5G peribadi, terutamanya rangkaian 5G peribadi tempatan. Ini perkara yang kami sebagai sebuah industri, sedang membincangkannya
“Ia tidak semestinya hanya untuk penguatkuasaan undang-undang saja, malah boleh digunakan untuk mana-mana industri atau syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panel forum Mengukuhkan Masa Depan: Memanfaatkan Teknologi 5G untuk Memperkukuh Keselamatan Negara sempena Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, dengan pendekatan dwi-rangkaian 5G dan beberapa langkah akan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membolehkan pembahagian jalur rangkaian yang selamat untuk agensi seperti PDRM direalisasikan.
Kata Fahmi, sekiranya cara ini berjaya, sebahagian jalur rangkaian yang selamat akan didedikasikan untuk memastikan lebar jalur tidak terganggu untuk operasi sensitif.
“Sebahagian jalur rangkaian 5G yang selamat bermakna lebar jalur dikhususkan untuk organisasi itu. Ia tidak semestinya hanya untuk penguatkuasaan undang-undang, ia boleh untuk mana-mana industri, mana-mana syarikat,” katanya.
Katanya, syarikat swasta di negara lain sudah mula menggunakan rangkaian 5G persendirian tempatan terutama untuk Internet of Things (IoT) yang memerlukan data masa nyata daripada pelbagai sensor merentas kemudahan.