Politik stabil, dasar ekonomi jelas tarik pelabur AI ke Malaysia
22 JAN : Kestabilan politik dan dasar Ekonomi Madani yang jelas telah menarik pelabur dalam industri kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai insentif disediakan kerajaan bagi menarik pelabur utama dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.
Katanya, pendekatan menyeluruh diambil kerajaan dalam menyepadukan AI dalam rangka kerja nasional Malaysia.
Kerajaan memberi penekanan untuk mewujudkan undang-undang AI, pejabat nasional AI dan langkah-langkah perlindungan data.
“Kami perlu merancang pelaksanaan AI nasional, pejabat AI, perundangan, perlindungan data, dan apa sahaja yang diperlukan untuk memastikan kami dilengkapi sepenuhnya dengan kaedah AI – mengubah sistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, teknologi blok rantai (blockchain),” kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog ‘Special One-on-One Exclusive Dialogue with Forum Leadership’ yang dikendali pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF, Profesor Klaus Schwab.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, AI perlu dilaksanakan dan digerakkan dengan lebih pantas malah beliau sempat berseloroh sambil mengaitkan dengan usianya.
“Ia perlu dilaksanakan segera dan kami menggerakkannya (AI) pada kadar yang lebih pantas, sebahagiannya kerana usia saya.
“Saya tidak mempunyai masa untuk menunggu,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim
Ruang 30 minit itu Anwar juga gunakan untuk menjelaskan peranan yang boleh dimainkan Malaysia terkait masa depan ekonomi dunia dan ketersediaan negara bagi menyahut arus perubahan serta kecanggihan teknologi ketika ini.
“Saya maklumkan bahawa Malaysia telah mempersiap segala kelengkapan dan infra diperlukan terkait kecerdasan buatan, tenaga, tenaga hijau, semikonduktor, perlindungan data, dan lain-lain lagi untuk perhatian masyarakat dunia.
“Ini juga disokong melalui hubungan baik dengan negara-negara jiran ASEAN dalam aspek intra-ASEAN, projek kabel bawah laut, persempadanan, pertukaran maklumat dalam membawa rantau ini ke tahap lebih tinggi, setanding Kesatuan Eropah selain arus kebangkitan kumpulan negara Global South melalui anjakan kuasa ekonomi sedia ada dalam membentuk semula masa depan ekonomi dunia,” katanya.