23 JAN : Organisasi media seluruh ASEAN bakal berhimpun sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama serta mengenal pasti cabaran terkini dalam industri.
Katanya, HAWANA akan menjemput pengamal media dari ASEAN untuk beberapa program sempena kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
“Saya harap sempena kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan rakan-rakan media dari seluruh ASEAN, selain media rasmi dan syarikat media yang lain untuk datang ke Kuala Lumpur.
“Ini supaya kita dapat mengetahui dan memahami cabaran dihadapi rakan-rakan media dalam lingkungan ASEAN.
“Pada masa sama, perbincangan antara syarikat organisasi media ini akan dapat memberi hala tuju yang baik untuk industri secara keseluruhan,” katanya, lapor Bernama.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berharap Malaysia dapat mengumpulkan maklumat dan mencari iktiar untuk industri media menghadapi cabaran-cabaran masa kini.
“”(Isu lain yang boleh dibincangkan) termasuk kebebasan media, etika kewartawanan dan berita palsu yang mungkin tersebar luas sehingga menjejaskan kredibiliti industri media dan syarikat media itu sendiri.
“Harapan saya sempena kepengerusian ASEAN, kita dapat kumpulkan (maklumat) dan perbincangan ini dapat kita teliti dan kita ikhtiar beberapa penyelesaian (buat industri media),” katanya.
Menurutnya, segala maklumat hasil perbincangan dengan organisasi media tempatan dan ASEAN menerusi platform HAWANA boleh disampaikan kepada menteri berkaitan di platform Menteri-Menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat (AMRI) di Bandar Seri Begawan, Brunei, Mei ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi menegaskan kerajaan akan sentiasa memastikan media di Malaysia bebas dan berupaya melaksanakan tugas dengan baik.
Selain itu, beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Kementerian Komunikasi terus memastikan ketersediaan jaringan jalur lebar yang baik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, Kementerian Komunikasi sebagai peneraju komunikasi yang berkesan dan inklusif akan terus memberi fokus bagi memastikan ekosistem dalam talian selamat melalui Kempen Jelajah Keselamatan Dalam Talian yang telah dilancarkan kelmarin.
*Foto: Facebook Kementerian Komunikasi