Malaysia, ASEAN harus berkecuali, tidak campur hal negara lain
23 JAN : Malaysia dan negara ASEAN harus berkecuali serta tidak mencampuri sebarang kemelut negara lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kekal dengan pendirian itu sambil menegaskan negara ASEAN sewajarnya tidak berpihak kepada sesiapa.
“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan begitu juga rantau ASEAN, perlu terbabit secara lebih agressif dengan pelaburan daripada AS dan Eropah. China menjadi jiran yang penting, malah kita harus terus berbuat demikian bersama Australia, India dan negara-negara lain.
“Disebabkan ini, saya merasakan ASEAN adalah sebuah wilayah berpusat yang mampu terbabit secara dekat mana-mana negara dan masalah yang bukan masalah kita, tidak sepatutnya menekan kita atau berpihak kepada sesiapa,” katanya yang juga Pengerusi ASEAN.
Beliau berkata demikian pada sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together” pada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos.
Dalam pada itu, Anwar berkata bagi memastikan keamanan berlanjutan, ASEAN mengamalkan dasar yang memberi kebaikan kepada semua negara anggota.
“Kita bukan sebuah wilayah yang bersaing sesama sendiri tetapi mengutamakan perkara yang inklusif dan mampan yang memberi manfaat antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, pada sesi dialog ‘Special One-on-One Exclusive Dialogue with Forum Leadership : A Conversation with Anwar Ibrahim’ berkata negara anggota ASEAN menumpu untuk mengukuhkan asas ekonomi, kerjasama dan meningkatkan perdagangan sesama anggota.
“Kami sudah berjaya pada masa lalu dari segi diplomasi geopolitik. Bagaimanapun, kami menyedari bahawa kami perlu meningkatkan perdagangan sesama ASEAN dan berusaha untuk melengkapkan kelebihan daya saing antara satu sama lain.
“Kami lebih mementingkan kepada kerjasama ekonomi, daripada pemahaman dan perbualan saya bersama pemimpin ASEAN lain dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei, kepentingan utama kami adalah untuk menumpu kepada asas ekonomi,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim