24 JAN : Pembangkang di Semenanjung diingatkan agar tidak menghina orang Sabah termasuk menganggap pemimpin dan rakyat di negeri ini sebagai ‘palui’ atau bodoh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pemimpin seperti itu tidak wajar datang ke Sabah kerana budaya berpolitik di Semenanjung yang dibawa mereka tidak sesuai dengan budaya politik diamalkan di negeri ini.
“Banyak pemimpin dari seberang datang. Saya beritahu mereka, kalau datang mesti sopan santun. Jangan bawa perangai dari sana (Semenanjung) ke Sabah yang harmoni dan aman damai ini.
“Saya mahu beritahu (Datuk Seri) Hamzah Zainudin (Timbalan Presiden Bersatu) jangan hina orang Sabah, jangan hina pemimpin Sabah,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Sayangi Sabah Zon 6 di Dataran Keningau pada Khamis.
Pengerusi GRS Sabah itu merujuk ucapan Hamzah yang didakwa menyebut pemimpin dan rakyat Sabah sebagai ‘palui’ ketika berucap dalam satu program Perikata Nasional di Sepanggar, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Negeri Di Bawah Bayu itu tidak memerlukan pemimpin bersikap sedemikian dan tidak wajar membawa budaya politik seperti itu ke negeri tersebut.
“Kita tidak mahu pemimpin seumpama ini. Walaupun kita meraikan demokrasi, tapi budaya orang Sabah lain dengan sebelah sana (Semenanjung). Kalau sana maki hamun, makilah kamu, tapi jangan bawa ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru rakyat negerinya itu agar bersatu hati bagi menjaga keharmonian dan menyokong GRS yang menggabungkan lapan parti tempatan demi kebaikan Sabah.
“Kerana itulah saya ingin merayu kepada rakyat kita yang berbilang kaum dan kepercayaan ini, marilah kita bersatu hati dan sokonglah GRS yang terdiri daripada parti tempatan kita,” katanya.
Pada masa sama, beliau yakin gabungan itu mampu mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tidak lama lagi.
“Kalau lapan parti sudah bergabung ini, saya tidak percaya kita boleh kalah pada PRN nanti, tidak mungkin. Dengan kejayaan dan pencapaian kita empat tahun ini tidak mungkin kita gagal pada PRN ini.
“Apa yang penting kita bersatu hati, walaupun berlainan pandangan, kita raikan, kita hormati. Tapi bila buat keputusan, kita satu hati kerana itulah yang akan membawa kejayaan kepada kita pada PRN akan datang,” katanya.
Selain itu, Hajiji sempat mengingatkan rakyat negeri itu agar tidak terpengaruh dengan dakyah disebarkan di media sosial yang memburuk-burukkan GRS dan kerajaan negeri sekarang.