24 JAN : Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak sebagai pemudah cara pada Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadualkan, esok di ibu negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia bagi memastikan kelancaran perhimpunan itu sejajar dengan komitmen kerajaan yang menghormati hak kebebasan berhimpun seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi, saya memaklumkan bahawa kerajaan, KDN kita sentiasa menghormati hak kebebasan berhimpun yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada masa sama kita ada Akta Perhimpunan Aman yang menjelaskan peranan peserta, penganjur dan polis.
“Esok pihak polis akan memudahcara himpunan tersebut. Itu berbeza sama sekali dengan tuduhan mengatakan sekatan diberikan. Yang kita sebut adalah tengok balik peruntukan dalam akta apa maksud peserta, tugas penganjur.
“Jadi Kabinet tadi mengambil maklum dan bersetuju dengan yang disampaikan. Penganjur dan peserta perlu mematuhi peraturan…tidak boleh bawa senjata tajam atau anak di bawah umur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, hari ini.
Saifuddin berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkait perkara itu.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tiada sebarang masalah terhadap perhimpunan antirasuah itu.
Terdahulu, dilaporkan Himpunan Rakyat Benci Rasuah itu dianjurkan susulan perhimpunan Ambang Tahun Baharu pelajar di Sabah yang membantah ahli politik negeri itu didakwa terlibat dalam skandal rasuah.
Himpunan itu dijadual melibatkan perarakan di pusat membeli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka.