24 JAN : Pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, minggu depan.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selaras agenda Kerajaan MADANI untuk menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Pemberian diskaun untuk kenderaan persendirian Kelas 1 ini akan melibatkan implikasi kewangan RM20.08 juta yang perlu dibayar balik kerajaan kepada syarikat konsesi tol.
Ia mampu dilaksanakan susulan kedudukan kewangan negara yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan utama yang sudah diberi Kerajaan MADANI sejak tahun 2023.
“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang sudah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
“Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Alexander, pengguna lebuh raya boleh menikmati diskaun tol ini bermula 27 Januari ini jam 12.01 tengah malam sehingga 28 Januari jam 11.59 malam.
“Keputusan memberikan diskaun 50 peratus daripada kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata kerajaan sedang memperinci pemberian tol percuma secara bersasar pada musim perayaan selaras usaha rasionalisasi subsidi kerajaan kepada golongan tertentu terutama kumpulan B40 dan M40.
Ia susulan kenyataan Alexander yang mengumumkan dasar pemberian tol percuma ketika musim perayaan utama tidak akan diteruskan mulai tahun ini selepas kerajaan memutuskan tahun lalu merupakan kali terakhir pelaksanaan dasar tersebut namun Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan.
Mengulas tentang pengumuman awalnya itu, Alexander berkata ia berdasar kepada keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.
OLEH : NUR EISYA