24 JAN : Kerajaan akan merangka lebih banyak insentif baharu dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi merangsang ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata RMK13 bukan lagi sekadar dokumen yang menyenaraikan projek kerajaan seperti lazimnya.
“Insentif itu akan dirangka berasaskan dasar yang kita perlukan untuk membantu peralihan ini, bagi memudahkan perubahan tingkah laku yang kita perlukan dalam ekonomi dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Sesi Libat Urus Bersama Industri untuk RMK13 di ibu negara pada Khamis.
Menurut Rafizi, pendekatan baharu RMK13 lebih kepada usaha untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong peralihan ekonomi lebih mampan dan berdaya saing sekaligus tidak tertumpu kepada pengagihan sumber secara langsung.
“Fokus utama RMK13 adalah kepada dasar dan program untuk mempengaruhi tingkah laku yang diperlukan bagi menyokong transformasi struktur ekonomi negara.
“Pendekatan baharu ini juga akan mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan awam, sebaliknya memberi ruang kepada sektor swasta melakukan peranan utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan akan terus komited menyelaras dasar antara pelbagai kementerian bagi memastikan isu seperti peraturan yang membebankan sektor swasta dapat diselesaikan.
“Platform seperti sesi libat urus memberikan ruang kepada kerajaan dan sektor swasta untuk merapatkan jurang pemahaman serta membolehkan kerjasama yang lebih baik.
“Kita mahu sektor swasta menjadi pemacu utama ekonomi, manakala kerajaan sebagai fasilitator melalui dasar dan program yang menyokong,” katanya.